Bicara Presiden

Prof. Dato’ Dr. Ab Halim Tamuri Presiden Persatuan Intelektual Muslim Malaysia
Prof. Dato’ Dr. Ab Halim Tamuri
Presiden Persatuan Intelektual Muslim Malaysia

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah yang telah memberikan kepada kita nikmat yang tidak terhingga, selawat dan salam ke atas kekasih kita Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat dan seluruh pengikutnya sehingga Islam tersebar ke seluruh muka bumi Allah s.w.t.

Dikesempatan ini, saya berharap agar seluruh ahli Persatuan Intelektual Muslim Malaysia sentiasa mendapat hidayah, rahmat, petunjuk dan inayah daripada Allah s.w.t. Disamping sentiasa menjadikan diri sebagai insan yang bertaqwa dan meletakkan segenap kehidupannya kerana Allah s.w.t sehingga mampu memberikan sepenuh harta, tenaga dan buah fikiran dalam memperkasakan pendidikan Islam yang mampu mendidikan ahli masyarakat agar sentiasa istiqomah dalam mencapai kecemerlangan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Persatuan Intelektual Muslim Malaysia telah mencapai 14 tahun penubuhannya telah memberikan banyak perkembangan baru terhadap pendidikan Islam dan bahasa Arab di Malaysia. PIMM telah mengorak langkah pada mulanya sebagai kelab sehinggalah tertubuh hingga ke hari ini. Jumlah keahlian PIMM telah mencapai 87 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan institusi pendidikan membantu dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan Islam dan bahasa Arab sama ada di peringkat rendah, menengah, insitut pengajian tinggi awam mahupun swasta. Pengalaman PIMM dalam penyelidikan, penerbitan dan perundingan dan pengumpulan bahan bacaan boleh mempertingkatkan kualiti kesarjanaan dalam bidang pendidikan Islam.

PIMM mempunyai ahli daripada seluruh negeri di Malaysia yang mampu menggembleng tenaga dan buah fikiran dalam memastikan semua umat Islam dapat mencapai potensi keilmuan yang tinggi, mempunyai peribadi yang baik, seterusnya menjadi masyarakat Islam yang penuh dengan ketamadunan dan mengamalkan cara hidup yang dirahmati Allah s.w.t.

PIMM mempunyai cita-cita besar dalam membangunkan ummah dengan harapan mampu menubuh sebuah institut penyelidikan Pendidikan Islam sehinggalah wujudnya sebuah universiti yang bertaraf dunia. PIMM mempunyai fokus dalam membangunkan kebajikan, sosial dan Pendidikan.

Saya mewakili seluruh barisan majlis tertinggi PIMM ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan kepada semua yang telah menjayakan pelbagai program yang telah dirancang dan dilaksanakan.

“Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab”

Leave a Reply