Kenali PIMM

SEJARAH

Asas penubuhan Persatuan Intelektual Muslim Malaysia bermula dengan kewujudan Kelab PhD dibawah penyeliaan Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri. Kelab PhD ini berperanan dalam membentuk kumpulan yang saling bantu membantu dalam gerak kerja penulisan tesis dan menjalankan penyelidikan serta menjadi medan latihan kepada calon-calon pelajar Doktor Falsafah untuk melakukan pembentangan. Hasil daripada komitmen yang diberikan oleh ahli kelab PhD ini, maka wujud cadangan untuk menubuhkan sebuah persatuan sebagai suatu ruang untuk berkongsi ilmu dan menggemblengkan tenaga serta sumber-sumber yang ada untuk melaksanakan agenda pendidikan, sosial dan kebajikan ke arah membangunkan masyarakat yang berpaksikan Islam dalam kehidupan. Maka pada 2 Jun 2009,  Persatuan Intelektual Muslim Muslim telah berjaya ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) Malaysia. Persatuan ini berperanan untuk menghimpunkan pakar-pakar peringkat pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan khususnya Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Malaysia dalam sebuah organisasi.

OBJEKTIF PENUBUHAN

  1. Menghimpunkan pakar-pakar peringkat pengajian Doktor Falsafah dan tenaga pakar dalam bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab dalam sebuah organisasi bagi menggembleng tenaga, usaha dan sumber-sumber yang ada untuk melaksanakan agenda pendidikan, kebajikan dan sosial.
  2. Menggalakkan penyelidikan, penerbitan, perundingan dan pengumpulan bahan bacaan yang boleh meningkatkan kualiti kesarjanaan dalam bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab.
  3. Membina jaringan akademik dan penyelidikan dengan tenaga pakar daripada pelbagai disiplin dan institusi bagi membincangkan isu, mengemukakan idea baru, mencari penyelesaian dan bertukar pendapat mengenai bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab.
  4. Mewujudkan dan menjalinkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli khasnya dan masyarakat amnya melalui perencanaan aktiviti dan program yang boleh meningkatkan kefahaman terhadap agenda pendidikan Islam dan bahasa Arab.